Rabu, 18 Ogos 2010
‘Creative thinking in Music’
Berdasarkan artikel ‘Creative thinking in Music’ yang ditulis oleh Maud Hickey dan Peter Webster, guru muzik digalakkan untuk memupuk kanak-kanak supaya menggunakan keupayaan yang sedia ada untuk berfikir secara kreatif dalam muzik daripada memaksa kanak-kanak menjadi kreatif.
Pemikiran adalah satu proses minda sebelum membuat keputusan. Kreativiti adalah proses untuk menjadi kreatif, satu siri tindakan di mana mengemukakan pendapat, fikiran dan objek fizikal yang baru.
Menurut Maud Hickey dan Peter Webster, seorang guru dikatakan kreatif apabila dia mengajar secara kreatif atau dia mengajar pelajar menjadi kreatif. Pemikiran kreatif sepatutnya dipupuk dalam bilik darjah muzik. Maksud kreativiti boleh dikaji dari empat perspektif, iaitu orang, proses, produk dan tempat.
Terdapat beberapa ciri seseorang yang kreatif, iaitu pengambilan risiko, perasaan humor, sikap terbuka dan keupayaan berkhayal. Kanak-kanak mempunyai potensi untuk perkembangan kreatif ini. Kesedaran guru bahawa pelajar mempunyai sifat yang kreatif akan membantu guru menggalakkan sifat personaliti positif yang kreatif dalam diri semua pelajar. Guru harus menggalakkan pelajar mengambil risiko dan berhumor dalam bilik darjah.
Proses kreatif juga disifatkan sebagai satu proses pemikiran yang hendak menghasilkan satu produk kreatif. Pemikiran kreatif dalam muzik bagi Model Webster menggariskan proses kreatif yang kompleks di mana bermula dengan satu idea atau niat dan berakhir dengan menghasilkan satu produk kreatif. Seseorang harus mempunyai kemahiran dan persekitaran yang sesuai untuk menyokong proses kreatif ini. Wallas telah mencadangkan empat tahap pemikiran kreatif iaitu persediaan, pengeraman, illuminasi dan pengesahan.
Pada peringkat persediaan, orang yang kreatif akan mula berfikir dan mengumpul bahan atau idea bagi produk kreatifnya. Dalam muzik, pemikir kreatif akan bertanya soalan seperti, “Apakah yang ingin saya hasilkan?” atau “Gaya apakah yang harus dimasukkan dalam karya muzik saya?”
Peringkat pengeraman sering berlaku apabila seseorang melangkah jauh dari masalah kreatif. Pada peringkat ini, ini adalah masa penting bagi otak untuk melakukan kerjanya. Idea-idea digabungkan dan diasimilasikan pada peringkat ini. Dalam soal pengajaran muzik, “masa berfikir” yang penting ini digalakkan.
Peringkat illuminasi adalah satu peringkat di mana satu idea yang hebat muncul dalam fikiran. Ini mungkin berlaku pada bila-bila masa, contohnya semasa seseorang individu sedang bekerja atau tengah minum petang. Satu melodi yang sempurna akan muncul dalam fikiran seseorang. Pelajar muzik harus mengumpul atau menyimpan “track” illuminasi dan idea-idea muzikal yang muncul secara mengejutkan dalam buku manuskrip atau dalam komputer.
Dalam peringkat pemikiran kreatif yang terakhir iaitu peringkat pengesahan, seseorang menyatakan idea kreatifnya dan mencuba produk kreatif.
Selepas mengesahkan satu konsep kreatif pada pertama kali, pencipta mungkin akan mengalami empat tahap pemikiran semula untuk mengemaskini produk kreatifnya. Guru muzik harus menggunakan pendekatan yang sesuai untuk menggalakkan pertumbuhan muzikal kreatif pelajar dalam bilik darjah.
Aktiviti yang melibatkan penyelesaian ‘brainstorming’ kepada masalah-masalah muzikal ditawarkan untuk merangsang proses pemikiran muzikal yang kreatif.
Satu gubahan atau improvisasi muzik adalah kreatif apabila dibandingkan dengan muzik apa yang telah dicipta pada waktu dan tempat tertentu. Apabila seorang pelajar menghasilkan satu produk muzikal kreatif yang begitu unik dalam bilik darjah pada hari itu, guru harus menggalakkan pelajar menggunakan gabungan idea-idea muzikal asal dalam proses menghasilkan produk yang kreatif.
Guru boleh membantu mengembangkan ‘intentionaliti’ dalam diri pelajar dengan menggalakkan idea-idea reflek daripada pelajar.
Satu komposisi yang unik juga harus dinilai dari segi estetik untuk ditakrifkan sebagai kreatif. Kombinasi idea-idea muzikal asal yang menonjolkan kreativiti satu gubahan atau improvisasi muzik akan disusun supaya menjadi menarik. Guru boleh menggunakan cara ini untuk membimbing maklum balas mereka terhadap ciptaan muzikal kreatif pelajar. Produk muzikal kreatif boleh dihasilkan dalam mana-mana situasi di mana tiada yang benar atau salah. Oleh itu, guru harus memberi peluang kepada pelajar untuk menghasilkan produk kreatif mereka.
Perspektif keempat untuk menilai kreativiti adalah tempat. Pada tahun pra sekolah, persekitaran yang kaya dengan bahan muzikal harus disediakan dan kanak-kanak patut didedahkan dengan pelbagai jenis lagu dan gaya muzik. Bagi pelajar yang lebih matang, mereka perlu tahu bagaimana menghasilkan kod, bagaimana menggabungkan warna bunyi untuk mewujudkan satu kesan muzik tertentu dan sebagainya. Pada masa itu, tempat harus kaya dengan explorasi dan susunan bunyi. Bimbingan guru dengan alat-alat untuk karya dan improvisasi menjadi lebih genting pada masa itu.
Saya amat bersetuju bahawa pemikiran kreatif dalam bunyi boleh terjadi apabila pelajar diminta mengimaginasikan bunyi sebagai kata kunci kepada semua aktiviti muzik. Pelajar dapat mengaplikasikan imaginasi bunyi atau struktur bunyi yang berlainan dalam pengalaman muzik secara peribadi. Pelajar diminta menggunakan keupayaan kognitif untuk menggalakkan pemikiran dalam bunyi. Dengan mengaplikasikan gambaran bunyi atau struktur bunyi dalam pendengaran, persembahan, komposisi, pelajar dapat mengalami muzik secara peribadi.
Guru muzik harus banyak menggalakkan pelajarnya supaya sentiasa mengimaginasikan bunyi. Pemikiran bunyi seseorang pelajar dapat dikenal pasti sama ada secara mencapah atau menumpu dengan meminta pelajar menggubah atau membuat improvisasi dalam kelas muzik.
Cara pendengaran terhadap muzik yang baru harus digalakkan. Contohnya, pelajar diminta mendengar bunyi sekeliling dengan lebih teliti. Pemikiran muzikal yang kreatif ini tidak mungkin dapat dipupuk melalui aktiviti berpusatkan guru yang kurang mencungkil pemikiran kreatif. Ini adalah kerana pelajar hanya dapat bersikap pasif menuruti apa yang dihendaki oleh guru.
Bagi pendapat saya, untuk menggalakkan pelajar berfikir kreatif, pelajar diminta untuk mengimaginasi dan memanipulasi bunyi dengan kaedah mencapah dan menumpu. Ini akan mendorong pengambilan keputusan estetik dalam bidang muzik.
Proses mengambil keputusan perlu banyak dilalui dan dilatih dengan kepimpinan pakar pendidik muzik. Pelajar muzik diminta untuk membuat penilaian estetik atau menyatakan pendapat mereka terhadap penilaian estetik tersebut.
Dulu, guru lebih berfokuskan cara memberitahu pelajar bagaimana untuk bermain, mendengar, menggubah dan mengimprovisasi. Tetapi, jika pelajar diminta untuk berfikir kreatif dalam muzik dan mengambil keputusan estetik, pembelajaran muzik itu adalah lebih berkesan.
Kelebihan pengambilan keputusan estetik adalah lebih banyak peluang ditawarkan untuk mengajar kesan muzik. Antara masalah pengajaran yang paling mencabar adalah keupayaan mengajar bagaimana muzik kognitif bertindak balas dengan intelek dan emosi.
Dengan memasukkan strategi pengambilan keputusan estetik ke dalam strategi pengajaran muzik terutamanya dalam konteks aktiviti kreatif, guru muzik boleh memaksimumkan peluang untuk membantu pelajar meningkatkan kesedaran dalam muzik. Dengan mencipta atau menginterpretasi muzik mereka sendiri, pelajar akan lebih memahami muzik daripada membaca nota muzik yang diberikan.
Guru harus menggabungkan kemahiran dengan pemikiran kreatif dalam penapisan falsafah pendidikan muzik dengan pemikiran kreatif dalam muzik sebagai satu elemen teras. Sebagai contoh, apabila mengajar sekumpulan pelajar yang telah belajar trompet sehingga ke tahap keempat, kombinasi kemahiran dan aktiviti kreatif agak menarik perhatian pelajar untuk menggalakkan membuat penerokaan bunyi yang kreatif setelah merekea telah mempelajari asas-asas muzik sebelum itu.
Implikasi aktiviti pemikiran kreatif adalah satu peralihan dalam pemikiran tentang apa itu pengajaran muzik dan bagaimana ia harus distrukturkan. Jika guru muzik berusaha membenam idea-idea ke dalam falsafah pengajaran muzik dan struktur kurikulum mereka, perubahan cara pelajar dinilai diperlukan.
Secara tradisi, pendidik muzik telah menganggap produk menghasilkan muzik sebagai penunjuk kejayaan yang penting. Sebagai contoh, kadar kualiti persembahan kumpulan muzik itu pada musim perayaan dianggap satu penunjuk yang logik. Kadar penilaian persembahan solo dan ensembel menunjukkan tahap kejayaan seseorang individu.
Peperiksaan pengetahuan muzik secara bertulis adalah salah satu cara untuk mengetahui tahap pengetahuan pelajar. Mekanisme penilaian adalah penting dan boleh berfungsi dengan lebih bermakna dengan wujudnya falsafah yang menyokong pemikiran kreatif dalam muzik. Namun, peperiksaan pengetahuan muzik secara bertulis tidak dapat menilai tahap pengetahuan pelajar secara menyeluruh.
Kesimpulannya, menurut Maud Hickey dan Peter Webster, kami semua dilahirkan dengan keupayaan berfikir, beraksi dan hidup dengan kreatif. Kreativiti boleh wujud dalam komposisi dan improvisasi muzik dari aspek pendengaran, pergerakan dan persembahan. Di dalam bilik darjah, guru harus merangsang dan menggalakkan pelajar mempunyai pemikiran muzikal yang kreatif dalam muzik. Pemikiran kreatif dalam bunyi haruslah dipupuk menjadi satu teras falsafah pengajaran muzik.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan