Ahad, 3 Julai 2011

PENDAPAT ULAMAK-ULAMAK MASA KINI TENTANG MUZIK

mari kita baca tentang ini...ini bukan hasil tulisan saya tapi saya ambil daripada sumber-sumber yang boleh dikatakan betul.. sebagai ilmu bacaan sahaja... selamat membaca......................................................>

Ulamak-ulamak Islam masa kini tidak ketinggalan menyumbangkan pandangan-pandangan mereka terhadap hukum muzik yang menjadi titik perbezaan pendapat di kalangan ulamak sejak zaman berzaman. Mereka terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan yang mengharuskannya dan golongan yang mengharamkan. Mereka yang mengharamkan berpegang kepada nas-nas Al-Quran dan sunnah serta ‘illah yang disebut oleh ulamak-ulamak terdahulu. Cuma ada juga khilaf di kalangan mereka tentang alat-alat yang diharuskan. Ada juga yang menghadkannya kepada duf sahaja. Mereka ini pula berikhtilaf lagi pada keadaan-keadaan dibenarkan memukul dufdan siapakah yang diharuskan menggunakannya.

1. Pendapat pertama menyatakan bahawa duf hanya boleh digunakan di dalam upacara-upacara perkahwinan, hari raya, dan suasana-suasana kegembiraan yang lain seperti berkhatan. Hanya kaum perempuan sahaja yang dibenarkan memukul duf. Pendapat ini ialah pendapat Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Saleh Fauzan, Syeikh Muhammad bin Saleh Al-‘Usaimin dan Syeikh Nasiruddin Al-Albani. Mereka bersandarkan kepada mazhab Hanbali. [xviii]
2. Pendapat kedua pula menyatakan duf boleh digunakan dalam semua keadaan dan boleh dipukul oleh kaum lelaki dan wanita.

Golongan yang lain pula ialah ulamak-ulamak masa kini yang mengharuskan penggunaan duf dan gendang sahaja bersandarkan kepada pendapat-pendapat ulamak terdahulu sebagaimana yang telah diterangkan di dalam helaian-helaian yang terdahulu.

Seterusnya ada ulamak-ulamak masa kini yang mengharuskan penggunaan seluruh alat muzik tanpa ada pengecualian tetapi mereka meletakkan syarat-syarat dan batas-batas penggunaan alat tersebut agar tidak bertentangan dengan hukum Allah SWT. Mereka yang berpendapat demikian antaranya ialah:

1. Dr. Yusuf Al-Qardhawi di dalam kitabnya Malamih Al-Mujtama’ Al-Muslim.
2. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Al-Mufassal fi Ahkam Al-Mar’ah wa Baitil Muslim juzuk 4 bab 8 iaitu Babul Lahwi wal La’ab.
3. Dr. Mohammad Imarah di dalam bukunya Al-Islam wal Funun Al-Jamilah.
4. Dr. Kaukab ‘Amir dalam bukunya As-Simaa’ ‘Inda As-Sufiyyah.

Pendapat mereka sama dengan pandangan beberapa ulamak terdahulu seperti Ibnu Hazm Al-Andalusi, Ibn Tahir Al-Qaisarani, Abdul Ghani An-Nablusi, Al-Kamal Jaafar Al-Idfawi Asy-Syafie dan Al-Imam Mohd. Asy-Syazili At-Tunisi.

Sebahagian daripada mereka seperti Al-Qardhawi berpendapat demikian kerana hadith-hadith yang mengharamkan alat-alat muzik pada pandangan beliau sama ada sahih ghair sarih (sahih tetapi tidak nyata) ataupun sarih ghair sahih (nyata tetapi tidak sahih). Nas-nas yang seumpama ini tidak mampu untuk memutuskan hukum kerana hukum mestilah diputuskan dengan nas yang sahih wa sarih (sahih dan nyata). [xix]

Sebahagian yang lain pula seperti Dr. Abdul Karim Zaidan dan Dr. Kaukab A’mempunyai pandangan yang sama dengan Al-Ghazali. Mereka menyatakan pengharaman alat-alat yang disebut di dalam nas-nas hadith adalah kerana ia merupakan syiar ahli fasiq dan maksiat. Pada pandangan mereka muzik tidak haram dari sudut irama atau bunyinya. Tetapi yang menjadikannya haram ialah unsur-unsur luaran yang lain iaitu ia adalah alatan yang biasa digunakan di dalam majlis-majlis dan tujuan-tujuan yang bertentangan dengan batas syara’. Justeru itu alat-alat tersebut tunduk kepada perubahan tempat dan masa. Penggunaan alat-alat ini juga mestilah berlegar dala lingkungan yang dibenarkan oleh syara’ iaitu: [xx]

1. Niat penggunaan alat-alat tersebut dan pendengar iramanya hendaklah betul berdasarkan kaedah Al-umur Bimaqasidiha.
2. Tujuan dan suasana digunakan alat-alat tersebut ialah tujuan dan suasana yang baik, mulia dan tidak bertentangan dengan batas-batas syara’.

Dr. Kaukab ‘Amir menyatakan: “Pada hakikatnya majlis-majlis arak pada hari ini seperti kelab-kelab malam menggunakan seluruh alat muzik yang ada sekarang. Majlis-majlis tersebut tidak lagi menggunakan alat-alat tertentu (seperti zaman dahulu) malah keseluruhan alat digunakan. Oleh itu tidak mungkin untuk kita menghalalkan sebahagian alat (seperti duf dan gendang) dan mengharamkan sebahagian yang lain. Bahkan diharuskan kepada individu muslim mendengar irama alat-alat tersebut tetapi hendaklah menjaga adab-adab Islam serta tidak cuba meniru kelakuan dan perbuatan ahli-ahli fasiq dan maksiat. [xxi]