Rabu, 30 Mac 2011

BeTuL KaH JaWaPaN UntUk PeRsoAlan Ini??????


salam sahabat ku sekalian.. aku terjumpa persoalan ini di dalam satu laman web.. ingin aku berkongsi dan juga meminta pendapat kalian mengenai jawapan yang diberikan oleh penjawab... mari kita baca sama2...




Bermain musik untuk pancaragam sekolah
Jul 18, '07 2:20 AM
for everyone
Soalan

Saya menganggotai pasukan pancaragam sekolah bagi memenuhi keperluan kokurikulum kerana minat saya untuk bermain alat muzik tertentu. Apakah hukumnya bermain alat muzik dalam Islam?

Jawaban

Terdapat perbezaan pandangan ulama dalam hal ini. Pandangan pertama berpendapat bahawa pada asalnya alat-alat muzik adalah haram kerana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Akan berlaku dari kalangan umatku satu kaum yang menghalalkan zina, sutera dan ma`azif (ditafsirkan sebagai alat-alat muzik).” (Riwayat Al-Bukhari).

Alat-alat muzik juga haram kerana golongan ini berpendapat muzik dan nyanyian adalah haram berdasarkan firman Allah taala yang bermaksud “Dan di antara manusia ada yang membeli lahwal hadits untuk menyesatakan dari jalan Allah taala tanpa pengetahuan.” (Luqman : 6). Lahwal hadits asalnya memberi erti kata-kata yang sia-sia tetapi ditafsirkan oleh sebahagian ahli tafsir sebagai nyanyian.

Oleh kerana alat muzik berkait rapat dengan muzik dan nyanyian, maka hukumnya juga menjadi haram.

Golongan ini hanya mengharuskan alat-alat muzik yang dipukul seperti rebana sebagai pengecualian kerana terdapat beberapa hadits yang menunjukkan Rasulullah membenarkannya seperti hadist yang bermaksud “Pemisah antara yang halal dan haram (berada di tengah-tengah, ertinya harus) adalah rebana dan suara (nyanyian) semasa nikah.” (Riwayat Al-Khamsah) dan hadits “Iklankan nikah dan pukullah ghirbal (sejenis alat gendang).” (Riwayat Ibn Majah).

Pandangan kedua berpendapat bahawa asalnya alat-alat muzik adalah harus berdasarkan pada kaedah Usul Fiqh yang bermaksud “Asal sesuatu adalah harus/halal kecuali ada dalil sebaliknya.”

Alat-alat muzik seperti juga muzik dan nyanyian hanya menjadi haram jika ia disertai dengan unsur-unsur haram seperti jika dimainkan bagi mengiringi lagu-lagu yang haram (e.g lucah, mengandungi ajakan kepada hubungan cinta yang dilarang) atau aktiviti yang haram seperti tarian yang mendedahkan aurat atau sehingga lalai dan mengabaikan tanggungjawab yang lebih besar. Selain itu, golongan ini mempunyai tafsiran berbeza terhadap dalil-dalil yang dinyatakan oleh golongan pertama di samping menkritik bahawa sebahagian hadits yang dikemukakan adalah lemah dan tidak boleh dijadikan dalil bagi hokum.

Dalam konteks hari ini dengan kemajuan teknologi elektronik dan alat bunyi yang dapat memainkan dan meniru pelbagai bunyi secara elektronik, maka pada pendapat saya, pandangan golongan kedua yang mengharuskan segala alat muzik samada yang dipukul, ditiup dan dipetik lebih bersesuaian.

Berkaitan penyertaan dalam pasukan pancaragam sekolah, keharusannya bergantunglah kepada samada terdapat banyak elemen yang haram dalam aktivitinya. Jika terdapat sedikit yang haram pula, apakah ia boleh dielakkan oleh individu berkenaan.

Sekiranya yang haram itu lebih banyak atau tidak dapat dielakkan, maka memilih aktiviti kokurikulum yang lain adalah lebih baik.

Adapun minat, untuk bermain alat-alat muzik tertentu, secara nalurinya manusia memang mempunyai kecenderungan kepada seni dan hiburan. Minat ini masih boleh dipenuhi secara peribadi tanpa menyertai pasukan pancaragam (jika ia mempunyai banyak elemen haram) dengan sentiasa menjaga agar tidak dicemari dengan unsur-unsur yang dilarang oleh Islam sebagaimana yang dinyatakan di atas.

Rujuk Ensiklopedia Hukum Islam, bab Nyanyian & Muzik.

Wallahu A`alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan